SELASA, 9 OGOS 2022
MARUDI: Projek Pembinaan Jambatan Marudi telah mendapat perhatian umum apabila gagal disiapkan mengikut jadual hingga menyebabkan kontraktornya ditamatkan perkhidmatan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Insfrastruktur) Sarawak Ir. Aidel Lariwoo berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berusaha mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah kelewatan pembinaan jambatan ini dengan melantik kontraktor Penyelamat.
“Setakat ia ditamatkan, projek ini berada pada 15 peratus siap.
“Kontraktor penyelamat telah memulakan kerja-kerja awalan yang mungkin dianggarkan satu atau dua peratus kerana baru sahaja memulakan kerja-kerja pembinaan seperti yang kita lihat sekarang ini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Pembinaan Jambatan Marudi di sini pada Selasa.
Projek Pembinaan Jambatan Marudi ini mula dilaksanakan pada 25 Januari 2019 dan sepatutnya siap pada 24 Januari tahun ini.
Ujar Ir Aidel lagi, beliau telah dimaklumkan mengenai masalah dan kelemahan yang dihadapi kontraktor sebelum ini dan membawa bersama wakil jabatan dan agensi bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada projek pembinaan Jambatan Marudi.
“Ia tergendala akibat beberapa masalah seperti kelemahan-kelemahan kontraktor dan juga macam-macam lagi masalah-masalah yang dikenal pasti.
“Jadi, kita berusaha mengatasinya dan dengan itu hari ini saya membawa semua pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dan semua yang terlibat dalam pelaksanaan Projek Jambatan Marudi ini,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil berharap dengan pelantikan kontraktor baharu ini akan dapat menyiapkan pembinaan Jambatan Marudi ini mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Saya menaruh besar harapan kepada kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek ini dalam masa yang akan ditetapkan di antara JKR dan juga pihak kontraktor,” katanya.
Hadir sama Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Marudi dan pegawai-pegawai JKR Bahagian Miri.-EDISI UKAS