MAKSAK Bahagian Kuching Muncul Juara MAKSAK Sarawak Games 2022 Tenis Antara Bahagian

SELASA, 9 OGOS 2022

BINTULU: Pasukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Kuching muncul juara dalam Kejohanan MAKSAK Sarawak Games 2022 Tenis Antara Bahagian Sarawak yang telah diadakan di Bintulu pada 5 hingga 7 Ogos 2022. 

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,200, piala pusingan, piala iringan dan medal.

Sementara itu, Naib Juara disandang MAKSAK Bahagian Sibu dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, piala iringan dan medal, manakala tempat ketiga dimenangi MAKSAK Miri dan MAKSAK Limbang dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800, piala iringan dan medal.

Sebanyak 11 MAKSAK pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan dan badan berkanun seluruh Sarawak telah menyertai kejohanan ini bagi memilih pemain yang akan mewakili Sarawak ke Kejohanan MAKSAK Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kuching pada September ini. 

Sementara itu, dua pemain telah menerima Anugerah Khas Pemain Terbaik iaitu Sanjay Bana dari MAKSAK Sibu bagi kategori lelaki dan Elmy Muliani Ajaib Jamahari dari MAKSAK Kuching bagi kategori wanita dengan masing-masing menerima medal. 

Turut diadakan Anugerah Pemain Paling Senior Lelaki yang disandang Ismail Luhi dari MAKSAK Sibu dan Anugerah Pemain Paling Senior Wanita disandang oleh Elmy Muliani Ajaib Jamahari dari MAKSAK Kuching dengan kedua-dua mereka menerima plak. 

Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Muhamad Yakup Kari di Resoran Kelab Kidurong Bintulu pada Ahad. 

Turut hadir Setiausaha MAKSAK Bahagian Bintulu Harun Hatta yang mewakili Pengerusi MAKSAK Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Koordinator merangkap Pengerusi Pengelola Kejohanan MAKSAK Sarawak Games 2022 Tenis Antara Bahagian Ahmad Ghazi, Pengurus Hal Ehwal Awam BDA Latif Upit, Setiausaha Kehormat Presiden Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) Faisal Affendie dan Presiden Persatuan Tenis Bahagian Bintulu (BDLTA) Mudahari Shaimi.-EDISI UKAS

add comment