RABU, 10 OGOS 2022
TATAU: Ibu bapa perlu sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak untuk berjaya dalam pelajaran.
Menurut Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Edwin Bant, hanya dengan pendidikan sahaja yang boleh mengubah nasib kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Untuk berjaya, murid-murid boleh memilih bidang kemahiran yang diminati kerana pada zaman kini kejayaan boleh diperolehi dengan berbagai cara. Apa yang penting ialah kesungguhan dan keazaman serta kerja keras,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Juara Permataku Zon Anap bagi mewakili Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muput, Tatau pada Ahad.
Program Juara Permataku Zon Anap ini telah diadakan pada 5 hingga 7 Ogos melibatkan 12 buah sekolah Zon Anap dan sekolah-sekolah jemputan dari Sebauh.
Dalam pada itu, beliau menyokong penubuhan ‘Google Educator Group Zon Anap’ yang akan membolehkan guru-guru bersama secara peribadi dalam talian dengan menyediakan forum untuk berkongsi, bekerjasama dan menyokong satu sama lain menggunakan teknologi maklumat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak Edmund Shah Tambi memberitahu telah menjadi tugas mereka membantu meningkatkan kompetensi di kalangan guru besar dan penolong kanan dalam bidang kepimpinan.
“Bagi menyokong Program Juara Permataku ini, IAB Cawangan Sarawak telah membawa pasukannya untuk mengenal pasti dan meningkatkan kompetensi, kepimpinan dan mendedahkan ‘digital tool’ dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan pendidik,” katanya.
Untuk rekod, IAB merupakan pusat latihan kepimpinan pendidikan yang unggul.
Turut sama hadir Pensyarah Kanan Jabatan Kepimpinan Hal Ehwal Murid dan Kaunseling Dr Ricky Lawe, Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/ Sebauh Fred Entau dan Guru Besar SK Kuala Muput Tony Madup.-EDISI UKAS