Konvoi Asajayakusayang Semarak Sambutan Bulan Kemerdekaan

RABU, 10 OGOS 2022

ASAJAYA: Sebanyak 16 buah kenderaan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan telah menyertai program Konvoi Asajayakusayang Daerah Asajaya di sini bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.  

Bertemakan Merdeka Pertahankan, konvoi itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Penerangan Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya dan Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan.

Manakala, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang telah hadir menyempurnakan ‘Flag Off’’ bagi konvoi itu di perkarangan Surau Darul Jannah, Tambirat Hilir pada Rabu.

Beliau memberitahu, ianya merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menyemarakkan lagi nilai patrotisme dalam kalangan masyarakat khususnya golongan anak muda.  

“Konvoi ini mampu memberi kesedaraan berkenaan semangat kemerdekaan yang patut disemai tertutamanya dalam jiwa bakal pemimpin masa depan.  

“Selain itu, beberapa siri program bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Parlimen Kota Samarahan turut diadakan yang antaranya termasuk Konvoi Kemerdekaan Peringkat Negeri Sarawak yang akan melalui daerah Samarahan dan juga daerah Asajaya,’’ katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program tersebut.

Untuk rekod, konvoi berkenaan berarak melalui empat lokasi bermula di Surau Darul Jannah pada jam 9.30 pagi dan kemudiannya ke Laluan Kampung Tambirat Lot.

Konvoi seterusnya ke Pasar Asajaya di mana acara penyerahan bendera Malaysia telah dilakukan sebelum menamatkan perjalanan di perkarangan Pejabat Daerah Asajaya sekitar jam 10 pagi.

Dalam perkembangan lain, Datuk Rubiah berkata, konsep bagi cadangan pembinaan sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kota Samarahan telah diluluskan manakala pelaksanaannya pula masih menunggu perincian daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

“Pada masa ini, pusat tersebut dicadangkan untuk dibina di kawasan The Summer Mall bagi memenuhi keperluan penduduk dari sekitar Kota Samarahan, Serian dan juga daerah-daerah pesisir yang lain,’’ ujarnya.

Antara yang hadir sama ialah Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat; Pegawai Tadbir mewakili Residen Bahagian Samarahan, Louis Andria Barieng; Pegawai Penerangan Daerah Samarahan, Abdul Latif Shamsudin dan Temenggong Chek Bujang. -Edisi UKAS   

add comment