Bekas Pegawai Daerah Marudi Zahirkan Penghargaan Sepanjang Berkhidmat Di Pejabat Daerah Marudi

KHAMIS, 11 OGOS 2022

MARUDI: Bekas Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepadanya sepanjang berkhidmat di Pejabat Daerah Marudi sebelum ini. 

“Terima kasih di atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Tuai-Tuai Rumah dan seluruh masyarakat di daerah Marudi sepanjang berkhidmat di sini. 

“Teruskan kerjasama ini kepada Pegawai Daerah Marudi yang baharu supaya kerja-kerja di sini akan menjadi lebih mudah dan memberi manfaat kepada semua penduduk daerah Marudi,” katanya semasa berucap dalam Makan Malam Sejambak Kasih Pertautan Sayang di Restaurant Chan Kampung Cina di sini pada Rabu. 

Sementara itu, Pegawai Daerah Marudi yang baharu Belayong Pok berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak dan juga masyarakat Marudi demi kesejahteraan penduduk. 

“Saya berharap supaya agensi-agensi kerajaan di Marudi akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di Marudi sesuai dengan peranan agensi masing-masing,” katanya. 


Dalam pada itu, Pengerusi Pengelola dan juga Ketua Masyarakat Melayu Daerah Marudi Pemanca Jamel Sabel menzahirkan penghargaan kepada bekas Pegawai Daerah Marudi di atas sumbangan khidmatnya sejak menjawat jawatan Penolong Pegawai Daerah lagi. 

Hadir sama Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan, Ketua Masyarakat Cina Kawasan Marudi Pemanca Wong Kiong Ching, Pegawai-Pegawai Tadbir Sarawak dari Pejabat Daerah Marudi, Ketua-Ketua Kaum dan Tuai-Tuai Rumah Daerah Marudi dan Ahli-Ahli Majlis Daerah Marudi.-EDISI UKAS

add comment