Keadaan ASF Di Sarawak Kini Lebih Terkawal

KHAMIS, 11 OGOS 2022

KUCHING: Situasi Demam Babi Afrika (ASF) di Sarawak lebih terkawal berbanding ketika wabak tersebut mula dikesan pada tahun 2021. 

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, keadaan beberapa ladang seperti di Sibu dan Miri kelihatan lebih baik setelah langkah pemusnahan babi dilaksanakan manakala bekalan daging babi untuk kegunaan domestik masih mencukupi setakat ini. 

“Pada masa ini pula, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah turun padang serta memantau keadaan di Serian setelah menerima laporan daripada warga tempatan berkenaan kemungkinan penularan ASF di kawasan tersebut,’’ katanya ketika ditemui media pada lawatan ke TOCLAN Agrotech Company, PPKS Jalan Canna di sini pada Rabu.

Beliau mengulas lanjut, pusat ternakan babi utama untuk aktiviti eksport di Pasir Puteh, Simunjan juga masih bebas daripada ASF dan mempunyai bekalan mencukupi untuk eksport ke negara Singapura. 

“Namun begitu, saya berasa kecewa terhadap tindakan segelintir penternak yang membuang bangkai ke mana-mana lembah setelah proses pemusnahan babi dilaksanakan dan menyeru agar mereka terus patuh kepada prosedur dan standard yang ditetapkan bagi menjamin kebersihan dan keselamatan persekitaran,” tegasnya. 

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu memberitahu, industri penternakan babi ialah salah satu perniagaan yang lumayan serta mempunyai permintaan tinggi terutamanya di Singapura. 

Sehubungan itu katanya, dua lokasi baharu telah dikenal pasti dan diluluskan sebagai ladang penternakan babi iaitu di Spaoh dan Bintulu. 

Sementara itu Dato Sri Dr. Stephen Rundi menambah, Kabinet Negeri telah bersetuju untuk menghulurkan bantuan khususnya kepada penternak yang terjejas akibat operasi pemusnahan babi yang dilaksanakan sejak tahun lepas. -Edisi UKAS

add comment