Kerajaan Sarawak Tumpu Usaha Ubah Kesejahteraan Sosioekonomi Rakyat

KHAMIS, 11 OGOS 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak berazam untuk mengubah kesejahteraan sosioekonomi rakyat Sarawak menjadi masyarakat maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kerajaan Sarawak berusaha meneruskan ekonomi dengan mengekalkan momentum penggunaan supaya orang ramai boleh mengekalkan pekerjaan dan kuasa beli mereka.

Menurutnya, kesan pengganda dari membina sistem Autonomous Rail Transit (ART) yang bernilai RM6 billion bermula pada September akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.

“Projek ART akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan dengan itu menyediakan lebih ramai orang dengan pendapatan yang stabil.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Kecemerlangan Sarawak Housing and Real Estate Development (SHEDA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Tambahnya, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) telah menumpukan hala tuju ke arah pemulihan dalam pasca-pandemik.

“Kerjasama global untuk memperlahankan perubahan iklim dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan pengeluaran bahan api hijau telah memberi prospek baharu kepada Sarawak untuk menjana ekonominya daripada ekonomi tradisional,” ujar beliau lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Prof Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Dr Penguang Manggil, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee, Presiden SHEDA Augustine Wong Chung Ho dan Pengerusi Penganjur SHEDA Angie Kueh dan Dato Sr Ir Alex Ting Kuang Kuo. – EDISI UKAS

add comment