Makmal Strategi Pembangunan BIDA Fokus Projek Pembangunan Di Betong

KHAMIS, 11 OGOS 2022

KUCHING: Makmal Strategi Pembangunan Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) 2023 melabuhkan tirainya pada Rabu setelah berlangsung selama tiga hari di salah sebuah hotel di sini.

Hari terakhir makmal itu memberi penumpuan terhadap pembentangan profil serta senarai projek yang dirancang dan dicadangkan untuk dilaksanakan di bawah BIDA.

Ianya banyak mendapat maklum balas para peserta dan juga para wakil rakyat di dalam merancang yang terbaik untuk Bahagian Betong melalui BIDA dengan memanfaatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.5 bilion.

Sesi makmal ini dikendalikan oleh fasilitator daripada Smart Management Development Peter Jambai dan dihadiri oleh para ADUN dan Ahli Parlimen di dalam Bahagian Betong.

Makmal ini adalah langkah permulaan di dalam menentukan dan memuktamadkan pelan pelaksanaan projek di bawah BIDA dari tempoh tahun 2023 hingga 2030 dan yang seterusnya dirancang untuk diadakan di dalam kumpulan yang lebih kecil dan lebih spesifik.

Secara keseluruhan, seramai 180 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada kakitangan 41 agensi kerajaan yang terlibat.

BIDA meliputi lapan kawasan DUN iaitu Beting Maro, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian, Kabong dan sebahagian daripada kawasan DUN Lingga.

Dalam pada itu, Penasihat Penyelidikan Sains Negeri Sarawak yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dalam ucapan ringkas penutupan merakamkan penghargaan atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak mampu mewujudkan agensi seperti BIDA ini hasil kestabilan politik dan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mempunyai visi di dalam meningkatkan pendapatan negeri.

Hadir sama Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kabong Mohamad Chee Kadir, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas. – EDISI UKAS

add comment