JUMAAT, 12 OGOS 2022
LINGGA: Rumah Kelab Sosio Ekonomi Nelayan Kampung Lingga yang telah siap sepenuhnya pada Disember 2021 akan memberi manfaat kepada nelayan di kawasan sekitar.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, beliau akan berusaha membantu kelab tersebut sama ada dari segi aktiviti komuniti atau bantuan peralatan nelayan.
Jelasnya, ia adalah bagi memastikan para nelayan di Lingga turut seiring seperti nelayan di kawasan yang lain.
“Rumah kelab nelayan tersebut juga akan dinaiktaraf prasarananya seperti menyimen sekitar rumah bagi mengindahkan lagi landskap kawasan itu.
“Ini adalah kerana ia terletak bersebelahan warisan sejarah iaitu tiang bendera zaman pemerintahan Jepun dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Rumah Kelab Sosio Ekonomi Nelayan Kampung Lingga, pada Jumaat.
Dayang menambah, rumah kelab berkenaan merupakan salah satu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Lingga pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM150,000.
Katanya lagi, kelab itu telah diwujudkan pada pertengahan 2021 dengan keahlian setakat ini adalah sebanyak 250 orang. -EDISI UKAS