Fusang Exchange Ltd, Baxian Bank Ltd Berminat melabur dengan Sarawak

JUMAAT, 12 OGOS 2022

KUCHING: Fusang Exchange Limited dan Baxian Bank Limited yang bertapak di Labuan menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak.

Pengerusinya, Jeneral (Bersara) Tun (Dr) Hashim Mohd Ali berkata, pihaknya amat tertarik dengan pembangunan Sarawak dan perancangan-perancangan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kita melihat pembangunan Sarawak dan program-program pembangunan memang menarik perhatian, bukan sahaja kami bahkan orang-orang lain juga.

“Sarawak merupakan wilayah yang besar dan peluangnya juga sangat besar apatah lagi kita tengok rancangan-rancangan yang Premier Sarawak ada sekarang untuk tahun mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Jumaat.

Jeneral Tun (Dr) Hashim menambah, menerusi kunjungan hormat bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Fusang Exchange Ltd, Henry Chong dan Presiden Baxian Bank Ltd David Chong itu, beliau berharap kerjasama antara kerajaan Sarawak dan pihaknya akan terjalin pada masa akan datang.

Fusang Exchange adalah bursa sekuriti dan aset digital pertama diiktiraf Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan British Virgin Islands (FSC BVI) , membuka laluan kepada syarikat berdaftar-BVI yang berpangkalan di Asia untuk menerima manfaat daripada kecekapan penyenaraian saham mereka secara digital melalui token ekuiti.-EDISI UKAS

add comment