JUMAAT, 12 OGOS 2022
BINTANGOR: Gereja Methodist Kai Nguong Bintangor menerima suntikan dana berjumlah RM500,000 untuk kegunaan menyiapkan pembinaan rumah ibadat berkenaan.
Dana tersebut merupakan peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurut Datuk Ding, kelulusan projek RTP itu bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan terbaik termasuk rumah ibadat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini.
Bercakap semasa Upacara Ringkas Penyerahan Tapak Projek RTP DUN N.46 Meradong di gereja itu pada Khamis, Datuk Ding mengingatkan agensi pelaksana supaya sentiasa bertindak tegas dengan memantau kerja-kerja yang dijalankan kontraktor.
Beliau juga berharap kontraktor dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana menjalinkan kerjasama dengan baik bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar.
Pada masa yang sama, beliau menyeru para penganut Gereja supaya memantau pelaksanaan projek berkenaan dan memberi kerjasama kepada agensi pelaksana ketika kerja-kerja sedang dijalankan.
Selepas program itu, Datuk Ding berkesempatan mengadakan Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Zon Tengah di Pusat Khidmat DUN N.46 Meradong.
Sesi dialog itu hasil permintaan daripada pemandu-pemandu teksi zon tengah agar masalah yang dihadapi mereka dapat didengari dan dibawa kepada pihak atasan berhubung isu kekurangan pelanggan berpunca daripada perbezaan cas antara kenderaan teksi dan Grab.
Dalam sesi berkenaan, Datuk Ding yang juga Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak berharap setiap wakil pemandu teksi menulis surat mengenai masalah yang dialami kepada pihak LPKP Bahagian Sibu agar ianya dapat dibangkitkan kepada pihak yang berkaitan.
Tegasnya, isu yang dibangkitkan juga haruslah berpandukan perlembagaan yang telah ditetapkan dan tidak dapat mengikut kesesuaian pemandu yang ingin mengubah peraturan perlembagaan dengan sesuka hati.
Tambahnya, jika isu tersebut berkaitan dengan LPKP, beliau akan cuba mengutarakannya namun setiap keputusan haruslah dibawa ke mesyuarat tertinggi nanti.
Pada masa sama, beliau berharap para pemandu teksi memberikan kerjasama dan jika ada sebarang masalah, boleh terus merujuk dengan LPKP Bahagian Sibu. – EDISI UKAS