Lembaga Lada Malaysia Akan Jalin Kerjasama Dengan MTCP & MANRED Mengadakan IPC

JUMAAT, 12 OGOS 2022

KUCHING: Lembaga Lada Malaysia akan menjalin kolaborasi bersama dengan dua kementerian di negeri ini untuk mengadakan acara Komuniti Lada Antarabangsa (IPC).

Pengerusinya Baharuddin Dato’ Mokhsen memberitahu, kolaborasi ini adalah bersama dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED).

“Kita akan berkolaborasi dengan dua kementerian ini untuk kita cuba menjadikan IPC ini sebagai satu acara tahun hadapan iaitu mungkin pada Mac atau April di Kuching.

“Ini adalah supaya kita dapat meletakkan nama Kuching dan Sarawak di persada dunia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Jumaat.

Katanya, kunjungan hormat yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail itu juga turut berbincang untuk membangunkan komuniti lada di Sarawak kerana 98 peratus penanam kecil lada di Malaysia ini adalah di Sarawak.

Sejurus selepas itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Persatuan Guru Al-Quran Bahagian Kuching (PGQBK) yang diketuai oleh Pengerusinya Mohamad Yassin Pakir.

Timbalan Pengerusi PGQBK San’Ani Fauzi ketika ditemui memberitahu, kunjungan hormat berkenaan adalah bagi memaklumkan perkembangan dan menyatakan keperluan persatuan mereka.

“Bermula dari tahun 2005, penubuhan Persatuan Guru Al-Quran Bahagian Kuching sudah lama sangat tiada bangunan sendiri, tiada pengangkutan dan peruntukan,” ujarnya.

San’Ani berkata, Premier Sarawak telah bersetuju untuk memenuhi keperluan mereka itu.-EDISI UKAS

add comment