JUMAAT, 12 OGOS 2022
KUCHING: Pembangunan Lapangan Terbang Lawas yang baharu akan menekankan elemen teknologi hijau dan mesra pengguna sekaligus memberi manfaat kepada warga Lawas dan di sekitarnya.
Kerja-kerja pembinaan lapangan terbang baharu ini dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan dijadual siap sepenuhnya menjelang akhir 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lapangan terbang baharu di Sundar itu kelak akan memberi perkhidmatan yang lebih luas terutamanya ke bahagian lain di Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Indonesia.
Menurutnya, Lawas juga memerlukan sebuah lapangan terbang yang lebih besar untuk menampung kemasukan pelancong dan memudahkan usaha menarik pelaburan ke kawasan utara Sarawak.
“Oleh itu, projek lapangan terbang baharu ini penting kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di wilayah utara,” katanya semasa menyempurnakan penutupan makmal cadangan pembangunan Lapangan Terbang Lawas baharu di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) memberitahu, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) merupakan agensi pelaksana kepada projek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni berkata, penganjuran makmal seumpamanya penting untuk menyelaraskan semua pihak yang terlibat dalam projek tersebut dengan mengoptimumkan reka bentuk dan kos projek tanpa menjejaskan kualiti lapangan terbang baharu.
“Akhirnya, kita mahu menyampaikan projek itu tepat pada masanya, dengan kos paling optimum tanpa menjejaskan kualiti untuk manfaat rakyat,” katanya. -EDISI UKAS