Kesedaran Mengenai Penjagaan Mata & Bahaya Penyakit Ketarak Perlu Diperluaskan Di Kawasan Pedalaman

SABTU, 13 OGOS 2022

BINTULU:Kesedaran pentingnya penjagaan mata dan bahaya penyakit katarak perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya di rumah panjang dan kampung. 

Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing berkata, dengan adanya pemahaman mengenai tanda-tanda penyakit katarak dan kepentingan menjaga mata terutama di kalangan anak-anak membolehkan penyakit ini dapat dikesan awal dan mendapat rawatan awal. 

Jelasnya lagi, beliau akan memberikan sumbangan sebuah kenderaan pada tahun depan yang akan memudahkan masyarakat mendapat rawatan di Hospital Bintulu.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu pihak Hospital Bintulu. Kadang kala walaupun rakyat ada wang tetapi untuk turun mendapatkan rawatan ke bandar tidak dapat disebabkan masalah infrastruktur. 

“Saya tidak kisah menyumbang seberapa banyak, apa yang penting  ialah rakyat boleh mendapatkan rawatan terbaik dan selesa,” katanya. 

Beliau berucap ketika merasmikan Karnival Ketarak Bintulu di Hospital Bintulu pada Sabtu. 

Seramai 32 pesakit dari Bintulu dan Mukah termasuk Dalat yang tinggal jauh di kawasan pedalaman menjalani pembedahan katarak secara percuma pada karnival dua hari anjuran Jabatan Oftamologi Hospital Bintulu.

Dalam pada itu, Dato Sri Tiong juga mahu ibu bapa mengambil perhatian serius terhadap kesihatan anak-anak mereka terutama dalam masalah penglihatan. 

“Ini selepas lawatannya ke beberapa rumah panjang baru-baru ini mendapati terdapat sebilangan kanak- kanak yang sukar melihat tetapi ibu bapa tidak tahu apa masalah anak mereka,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau memberikan jaminan akan memanjangkan permohonan untuk mendapatkan pakar oftalmologi tambahan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran hanya terdapat seorang sahaja pakar oftalmologi di Hospital Bintulu pada masa ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hospital Bintulu Dr, Dayang Suhaila Abang Mohamed.-EDISI UKAS

add comment