Pertandingan Amazing Race Sarawakku Sayang 2022, Galak Penjawat Awam Wanita Beriadah

SABTU, 13 OGOS 2022

KUCHING: Pertandingan Amazing Race Sarawakku Sayang 2022 yang dianjurkan oleh Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita menyaksikan penyertaan seramai 250 orang penjawat awam wanita jabatan Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan.

Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi MAKSAK Negeri Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki di lokasi bermulanya pertandingan iaitu di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini pada Sabtu yang berakhir di Damai Beach Resort, Santubong.

Program ini merupakan aktiviti sukan dan sosial untuk menggalakkan penjawat awam wanita beriadah yang melibatkan sebanyak 50 pasukan dengan setiap pasukan diwakili oleh lima orang peserta.

Di samping itu juga, program ini juga membantu mengeratkan silaturahim di antara penjawat awam wanita dan memupuk semangat kerja berkumpulan dalam kalangan kakitangan pelbagai gred dan skim perkhidmatan.

Difahamkan, penganjuran Amazing Race Sarawakku Sayang ini merupakan aktiviti tonggak tahunan MAKSAK Wanita Negeri Sarawak sejak tahun 2012.

Antara yang hadir dalam program ini adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Ik Pahon Joyik, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Datin Sri Baduyah Bujang dan Setiausaha Sulit Kanan Premier Sarawak Dato Khir Busrah.-EDISI UKAS

add comment