Tuai Rumah Perlu Miliki Kelayakan Akademik & Kredibiliti Tinggi

SABTU, 13 OGOS 2022

SRI AMAN: Penduduk rumah panjang memerlukan seorang tuai rumah yang mempunyai kelayakan akademik secukupnya selain berkredibiliti tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, tugas sebagai tuai rumah masa kini amat mencabar dengan terutamanya melibatkan penggunaan teknologi digital.

Menurutnya, tanggungjawab dan amanah sebagai ketua di sesebuah rumah panjang bukannya semudah yang disangkakan dengan peka dengan isu-isu semasa.

Beliau berkata demikian semasa majlis doa selamat sempena pelantikan Tuai Rumah Mathew Ronnie di Selepong Kunang pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit dan tetamu jemputan lain.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua tuai rumah di Bukit Begunan bekerjasama dengan Penghulu kawasan bagi membangunkan penempatan masing-masing.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi melaksanakan projek Jalan Kubur Selepong (RM50,000), Baik Pulih Jalan Mathew, Selepong Kunang (RM100,000), Baik Pulih Jalan Rh Stephen, Selepong Brangan (RM50,000) dan
Bina Baru Rumah Stor Biro Wanita Rh Mathew (RM30,000).

Beliau juga menyampaikan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada JKKK Rh Mathew, Selepong Kunang dan RM4,000 kepada Biro Wanita Rh Mathew, Selepong Kunang. -EDISI UKAS

add comment