Kuala Baram Race 2022 Tawar Hadiah RM22,600, Berlangsung 16 Oktober ini

AHAD, 14 OGOS 2022

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dengan kerjasama Masterpiece Cycling Club, Miri akan menganjurkan perlumbaan berbasikal Kuala Baram Race 2022 (KBR2022) yang akan berlangsung pada 16 Oktober ini. 

Menurut Timbalan Datuk Bandar Miri Julaihi Mohamad, acara ini merupakan perlumbaan tunggangan perintis anjuran MBM di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan. 

“Program ini bertujuan mempromosikan Miri sebagai destinasi baharu bagi acara lumba basikal di Sarawak khususnya dan Malaysia amnya. 

“Selain itu, ianya bagi mempertingkatkan pelancongan sukan di Miri dalam merealisasikan visi Bandar Miri ke arah Bandar Peranginan yang boleh didiami,” katanya ketika ditemui selapas merasmikan Pra Pelancaran KBR2022 di Dewan Bandaraya Miri, Jalan Bandaraya, Marina Bay, di sini pada Jumaat. 

Jelasnya lagi, acara itu akan menekankan kesedaran gaya hidup sihat melalui berbasikal sebagai aktiviti sukan rekreasi sekali gus menghijaukan alam sekitar.

Dalam pada itu katanya lagi, titik permulaan perlumbaan di Jalan Lutong Kuala Baram ke arah Lampu Isyarat Jalan Marigold kemudian U-turn ke Jalan Lutong Kuala Baram sebagai titik penamat. 

Ujar beliau, KBR2022 terhad kepada 400 peserta sahaja di mana penyertaan terbuka kepada peserta tempatan, kebangsaan dan antarabangsa dengan sasaran minimum 1,000 penonton.

Perlumbaan akan dibahagikan kepada 8 kategori ditambah satu Anugerah Khas iaitu Top Pecut dan hadiah menarik termasuk wang tunai dan trofi dengan jumlah keseluruhan RM22,600 menanti para pemenang. . 

Bayaran masuk untuk KBR2022 adalah RM100 sahaja dan para peserta akan mendapat Kit Perlumbaan KBR2022 yang akan diberikan semasa Hari Pendaftaran nanti.-EDISI UKAS 

add comment