Kerajaan Sarawak Urus Pandemik COVID-19 Dengan Baik

ISNIN, 15 OGOS 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menguruskan pandemik COVID-19 dengan sebaiknya di negeri ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad memberitahu, Sarawak turut berjaya melaksanakan program vaksinasi dengan berkesan di sini.

“Sejajar dengan perkara ini, MKN menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama sepenuhnya yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak sepanjang pengurusan wabak COVID-19 ini,’’ jelasnya ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabat beliau di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, Datuk Rodzi menaruh harapan atas sokongan dan kerjasama yang lebih utuh pada masa depan demi menjamin kesejahteraan sejagat.

“Hubungan kukuh yang berterusan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak akan menjadi platform penting dalam menjamin keselamatan rakyat dan perkembangan ekonomi,’’ tambahnya.

“Oleh itu, kita perlu saling bekerjasama demi menjaga kepentingan negara,’’ ujarnya lagi.

Hadir sama pada kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah MKN Sarawak, Sophian Isswandy Ismail. -Edisi UKAS

add comment