TYT Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2022

SELASA, 16 OGOS 2022

KUCHING: Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2022 di kediaman rasminya di Demak Jaya, di sini pada Selasa.

Kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2022 itu diketuai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.

Sementara itu, Datuk Francis ketika ditemui media memberitahu, tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk menjemput Tun Pehin Sri Abdul Taib hadir ke majlis penutupan Pesta Benak Sri Aman pada 11 September depan.

Katanya, Tun Pehin Sri Abdul Taib turut dijadualkan menyempurnakan penyerahan Piala Raja Sungai sempena Pesta Benak Sri Aman 2022.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS

add comment