TYT Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022

SELASA, 16 OGOS 2022

KUCHING: Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di kediaman rasminya di Demak Jaya, di sini pada Selasa.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022, Datuk Julaihi Narawi.

Bercakap ketika ditemui media selepas itu, Datuk Julaihi memberitahu, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak akan diadakan di Betong pada 31 Ogos 2022 bertempat di Dewan Sukan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.

Ujarnya, Tun Pehin Sri Abdul Taib akan menjadi tetamu kehormat dalam sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh bersama”.

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah (Pembangunan Wilayah), Martin Ben, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Dr Sabariah Putit serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS

add comment