RABU, 17 OGOS 2022
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa komited dalam memodenkan sektor agromakanan negara khususnya bagi pertanian pintar.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini kerana penggunaan teknologi dan kaedah pertanian moden dapat meningkatkan hasil pengeluaran tempatan sekaligus menjamin sekuriti bekalan makanan negara.
Oleh itu katanya, MAFI telah menlakukan beberapa usaha untuk menggalakkan peralihan ke pertanian moden iaitu dengan inisiatif menaiktarafkan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
“Inisiatif pemodenan bagi sektor agromakanan ini akan melibatkan pengusaha dan petani di luar bandar selaku kumpulan sasar sesuai dengan keluasan kawasan pertanian berskala besar.
“Bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden, Jabatan Pertanian telah menerima peruntukan sebanyak RM232 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang melibatkan tujuh projek bagi menaiktaraf kepada sistem pengairan pintar menggunakan Internet of Things (IoT), perolehan jentera dan mesin serta aplikasi pertanian pintar.
“Untuk menggalakkan pertanian moden dalam kalangan peladang, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah melaksanakan Projek Ladang e-Satelit dengan peruntukan RM10 juta berbentuk geran padanan dengan nisbah 70 peratus oleh Kerajaan dan 30 peratus oleh peserta dengan had maksimum RM30,000,”katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Paul Igai dalam Persidangan Dewan Negara pada Khamis lepas.
Menjelas lanjut katanya, MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mensasarkan peralihan konsep pemasaran petani luar bandar kepada kaedah jualan atas talian secara digital melalui platform Agrobazaar Online (ABO) yang telah menerima pendaftaran seramai 7,660 usahawan dengan transaksi jualan berjumlah RM9.5 juta sehingga 30 Jun 2022.
Jelas Datuk Seri Dr Ronald, penyertaan petani dan usahawan luar bandar di platform ini akan diperkukuh dengan latihan melalui modul Digital Zone Apprentice (DZA).-EDISI UKAS