Latihan Ombudsman Untuk Staf Unions Di OFS

KHAMIS, 18 OGOS 2022

KUALA LUMPUR: Ombudsman for Financial Services (OFS) bersedia menerima staf Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Jabatan Premier Sarawak (UNIONS) menjalani latihan ombudsman di OFS bagi memperkukuhkan perkara-perkara berkaitan ombudsman di Sarawak.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif OFS, Marina Baharuddin semasa menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya dan delegasi baru-baru ini.

Semasa kunjungan tersebut, beliau telah menyatakan OFS telah dilantik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pengendali Skim Ombudsman Kewangan pada April 2016.

Beliau juga secara ringkas telah menerangkan perkhidmatan yang disediakan oleh OFS dan memaklumkan bahawa perkhidmatan OFS untuk pengadu adalah percuma.

“OFS mempunyai pengalaman yang banyak dalam menyediakan penyelesaian pertikaian dan tuntutan yang timbul daripada perkhidmatan yang disediakan anggota kami iaitu Penyedia Perkhidmatan Kewangan yang berlesen atau diluluskan oleh BNM,” katanya.

Setakat Julai 2022, sebanyak 218 anggota OFS terdiri anggota berlesen (bank, insurans/takaful), institusi kewangan yang ditetapkan dan institusi yang diluluskan oleh BNM.

Pada tahun 2021, sebanyak 1,911 pertikaian telah dikendalikan oleh OFS dan dariapda jumlah tersebut, 1,186 pertikaian telah dapat diselesaikan.

Sebanyak 27 peratus pertikaian yang telah diselesaikan tersebut diperolehi melalui keputusan oleh ombudsman.

Antara turut bersama dalam kunjungan tersebut ialah Pengarah UNIONS, Pengarah Unit Audit Dalam Jabatan Premier Sarawak dan Pengarah Jabatan Audit Negara Sarawak. – EDISI UKAS

add comment