BPA Mahu Pengurusan Aduan Rakyat Diselarikan Bersama UNIONS

JUMAAT, 19 OGOS 2022

PUTRAJAYA: Biro Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana (BPA) telah menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya.

Lawatan ini telah disertai oleh Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Jabatan Premier Sarawak (UNIONS), Pengarah Unit Audit Dalam Jabatan Premier Sarawak dan Pengarah Jabatan Audit Negara, Sarawak.

Dato’ Dr. Juanda menyatakan bahawa antara matlamat kunjungan ini adalah untuk mengeratkan hubungan UNIONS dan BPA dalam memperkukuhkan perkara-perkara berkaitan ombudsman.

Beliau juga menerangkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam perkara-perkara berkaitan dengan integriti dan ombudsman seperti mengadakan Program Community Integrity Building (CIB) untuk menjadikan rakyat pemantau kepada pihak Majlis Tempatan.

“Kami juga mengambil peluang daripada keterbukaan dasar kerajaan yang sedia ada untuk memperkemaskan urusan-urusan pentadbiran dan penyampaian kepada rakyat dalam perkara berkaitan integriti dan ombudsman,” katanya semasa lawatan itu baru-baru ini.

Selain itu, lawatan ke projek-projek pembangunan yang telah siap dan dalam pembinaan bersama dengan pasukan ombudsman telah lakukan untuk mendengar sendiri aduan daripada agensi pelaksana dan kontraktor berkenaan sesuatu projek.

Ketua Pengarah BPA, S.Letchumanan Shanmugam pula telah menerangkan secara ringkas latar belakang dan punca kuasa penubuhan BPA.

Antara fungsi BPA ialah meningkatkan kadar penyelesaian aduan yang diterima oleh orang awam serta menyelesaikan aduan dengan cekap, adil dan berkesan.

Terdapat dua saluran utama aduan awam BPA iaitu Sistem Aduan Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan aplikasi telepon pintar ‘Respons Rakyat’.

Dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2022, terdapat 319 aduan yang telah diterima oleh BPA untuk Sarawak dan sebanyak 259 aduan tersebut iaitu 81 peratus telah diselesaikan.

Beliau juga berharap antara BPA dan UNIONS dapat menyelaraskan pengurusan aduan di Sarawak untuk memudahkan aduan tersebut dipantau dan diselesaikan.

BPA juga bersedia juga untuk berkongsi pengalaman dan menyediakan latihan SISPAA dan ‘Respons Rakyat’ kepada UNIONS. – EDISI UKAS

add comment