JUMAAT, 19 OGOS 2022
KUCHING: Penjagaan Hospis adalah satu pendekatan yang perlu disediakan untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem penjagaan kesihatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penjagaan paliatif ini penting dilaksanakan di Sarawak sebagai persediaan menghadapi negara menua atau ‘an aged nation’.
Jelasnya, ia juga sebagai persiapan berdepan situasi jumlah warga emas meningkat lebih daripada 14 peratus dan penurunan kadar kelahiran di Sarawak.
“Dari segi penjagaan perlu dilihat secara holistik dan sebahagian daripada ekosistem holistik itu adalah penjagaa paliatif atau ‘palliative care’.
“Misalnya Rumah Seri Kenangan, ia penting bagi golongan yang tiada waris supaya tidak ada warga emas kita hidup merempat tetapi ada disediakan tempat tinggal sekaligus diberi jagaan yang baik.
“Jadi bagi saya, kita mahu bawakan penjagaan paliatif ini dan perlu disediakan dalam kita membuat persediaan menghadapi negara yang menua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taklimat bersama Two Tree Lodge Hospice Kuching, pada Jumaat.
Dato Sri Fatimah menambah, penjagaan hospis adalah penjagaan paliatif untuk memberikan keselesaan, meningkatkan kualiti hidup termasuk mengurangkan kesengsaraan yang menghidap penyakit terminal dari segi fizikal, emosi dan rohani.
Tambah beliau lagi, ia dikendalikan oleh sekumpulan ahli-ahli professional yang terdiri daripada doktor, jururawat yang terlibat dalam bidang penjagaan paliatif dan sukarelawan.
Untuk rekod, Two Tree Lodge Hospice Kuching adalah yang pertama dalam menyediakan perkhidmatan berkenaan di Sarawak turut membantu dalam pengurusan peminjaman atau penyewaan peralatan perubatan seperti katil hospital, ‘oxygen concentrator’, kerusi roda, ‘commode’ serta perkhidmatan pengangkutan ambulan. -EDISI UKAS