SBLSB Beri Komitmen Siap Projek Borneo Samariang Resort City

JUMAAT, 19 OGOS 2022

KUCHING: Sentoria Borneo Land Sdn. Bhd. (SBLSB) telah beri komitmen untuk menyiapkan projek Borneo Samariang Resort City (BSRC) yang menghadapi kelewatan pada masa ini. 

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, SBLSB memberikan komitmen berkenaan walaupun menghadapi beberapa masalah setakat ini. 

Jelasnya, pembekuan sementara Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) SBLSB telah ditarik balik oleh pihak bank. 

“Namun, pihak bank berkeras agar tuntutan yang dikemukakan oleh SBLSB disemak dengan teliti oleh akauntan yang dilantik,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat. 

Manakala kenyataan tersebut memberitahu, kerajaan pula giat bekerjasama dengan segelintir pihak bagi membantu serta memberi kemudahan kepada para pembeli yang terjejas. 

Jelasnya, isu pemberian bantuan kewangan kepada pembeli rumah yang terjejas akibat kelewatan projek itu telah diketengahkan kepada pihak yang berkaitan. 

“Kerajaan Sarawak Melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama SBLSB, wakil-wakil pembeli, agensi berkaitan dan juga Timbalan-Timbalan Menteri.

“Satu mesyuarat yang telah dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (Kesihatan Awam dan Perumahan), Michael Tiang Ming Tee serta Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi pada 14 Jun 2022 telah membangkitkan isu pemberian bantuan kewangan para pembeli terjejas yang melibatkan penjawat awam kepada Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS), Borneo Housing Mortgage Finance Berhad (BHMFB) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu memberitahu, setakat ini, LPPSA dan BHMFB telah memberi kelonggaran tertentu berkenaan syarat pembayaran balik pinjaman oleh pembeli yang terjejas manakala SFS pula masih mempertimbangkan beberapa langkah untuk menangani hal berkaitan pinjaman itu. 

Tambah kenyataan itu, antara bantuan yang telah disediakan bagi para pembeli termasuk pemberian moratorium selama enam bulan oleh BHMFB serta SFS untuk dua kali iaitu pada tahun 2020 dan juga 2021. 

“LPPSA pula menawarkan tiga jenis bantuan kewangan iaitu penjadualan semula ansuran bulanan untuk projek bermasalah dan projek sakit di mana kemajuan projek melebihi 80 peratus siap; pembatalan pinjaman untuk projek terbangkalai, projek bermasalah dan projek sakit; serta moratorium untuk projek sama dengan atau kurang daripada 80 peratus siap,” ujarnya. -Edisi UKAS 

add comment