UNIONS Jalin Kerjasama Strategik Dengan UIAM

JUMAAT, 19 OGOS 2022

SELANGOR: Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Jabatan Premier Sarawak (UNIONS) akan bekerjasama dengan Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) bagi meneroka peluang dan pendekatan baharu mempromosikan ombudsman menjadi perkara yang penting dalam negara ini.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato’ Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya, Kerajaan Sarawak mengambil berat terhadap isu integriti dan ombudsman dengan mengambil inisiatif mewujudkan jawatan Menteri Integriti dan Ombudsman pada tahun 2017. 

Katanya, setelah Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12, portfolio integriti dan ombudsman terus diperkukuhkan dengan diletakkan secara langsung di bawah Premier Sarawak.

“Ombudsman juga boleh dijadikan penguatkuasa yang ketiga dan menjadi tempat untuk rakyat menyelesaikan permasalahan mereka tanpa perlu pergi ke mahkamah,” katanya semasa lawatan itu baru-baru ini.

Selain itu, beliau menyatakan Sarawak mempunyai seramai 166 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang merupakan teramai di Malaysia merangkumi semua agensi kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan.

Sementara itu, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak mengalu-ngalukan kerjasama antara UNIONS dan UIAM dalam perkara-perkara berkaitan ombudsman.

Beliau juga menyokong cadangan Sarawak menjadi tuan rumah seminar ombudsman kebangsaan sempena sambutan hari ombudsman peringkat antarabangsa sebagai usaha mempromosikan peranan ombudsman untuk seluruh rakyat Malaysia. – EDISI UKAS

add comment