SABTU, 20 OGOS 2022
IGAN: Sukan Tahunan merupakan aktiviti yang cukup penting untuk setiap sekolah sebagai medium untuk melahirkan pelajar yang cerdas dan cemerlang.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya amat menyokong penganjuran aktiviti berkenaan.
Berucap semasa merasmikan Kejohanan Olahraga Trek Dan Padang SK Kampung Igan di SK Kampung Igan pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu menjelaskan sebuah surau telah diluluskan untuk dibina di sekolah itu di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun ini untuk kegunaan pelajar.
Tambahnya, jalan alternatif untuk kegunaan sekolah itu akan diusahakan bagi mengelak pelajar dari bahaya memandangkan jalan utama yang berada di tepi pagar sekolah itu akan menjadi lebih sibuk apabila Jambatan Igan siap nanti.
Beliau turut menyampaikan cek bernilai RM20,000 kepada pihak PIBG SK Igan untuk kegunaan melaksanakan aktiviti mereka.
Sejurus selepas itu, Dato’ Dr Juanda telah merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan Daerah Matu di Dewan Masyarakat Igan.
Dalam program itu, beliau menyeru kepada seluruh penduduk di daerah Matu supaya menyemarakkan sambutan hari kebangsaan dengan mewarnai dan menghiasi setiap kampung dengan jalur gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.
Katanya, kebebasan yang dikecapi hari ini juga menjadikan daerah Matu banyak berubah dari segi pembangunannya dan lebih banyak lagi nikmat pembangunan akan dilaksanakan di kawasan itu.
Ujar beliau, program itu merupakan kesinambungan daripada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak yang dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Tebingan Kuching dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 13 Ogos 2022 dan pelancaran peringkat kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Julai lepas.
Dato’ Dr Juanda kemudiannya menyaksikan upacara ringkas penyerahan Waterfront Igan dari agensi pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) kepada agensi yang akan bertanggungjawab memelihara dan menyelia Waterfront Igan ini nanti iaitu Majlis Daerah Matu Daro (MDMD).
Projek bernilai RM3.9 juta ini mula dilaksanakan pada 24 Ogos 2020 telah siap awal dari jadual asal iaitu pada 23 November 2022.
MDMD akan bertanggungjawab untuk memastikan keindahan dan keceriaan waterfront ini terus terjaga.
Fasiliti turut akan ditambahbaik mengikut kesesuaian dan keperluan sepanjang masa untuk keselesaan penduduk dan peniaga di kawasan ini nanti. – EDISI UKAS