Johan Ghazali Juara Muaythai Remaja Dunia IFMA 2022

ISNIN, 22 OGOS 2022

KUCHING: Impian atlet muaythai remaja Sarawak, Mohammad Johan Ghazali Zulfikar untuk meletakkan nama sebaris dengan jaguh muaythai dunia akhirnya menjadi kenyataan selepas berjaya muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022.

Dalam aksi final di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu, Mohammad Johan menumbangkan atlet Rusia, Rustam Yunusob bagi kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18.

Meskipun ditentang sengit, namun Mohammad Johan yang mewakili Persatuan Muaythai Malaysia (PMM – Malaysia A) tidak gentar dan menampilkan aksi bertenaga untuk menumbangkan pencabar dari Rusia itu di hadapan ribuan penyokong tuan rumah sekaligus muncul juara.

Lebih manis apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Thomas Kuching itu turut dinobatkan Best Boxer – Outstanding Male Athlete Award susulan kejayaannya itu.

Sementara itu, adik Mohammad Johan, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar juga mewakili PMM (Malaysia A) pula memenangi emas dalam kategori IFMA World Muaythai Grand Slam (Junior 12-13 Remaja Lelaki 36-40kg).

Malah beliau turut menyumbang gangsa dalam kategori Junior 12-13 Remaja Lelaki Bawah 40kg.

Seorang lagi atlet remaja Sarawak yang turut bertanding di bawah tiket PMM (Malaysia A), Texas Jeremy Lo menyumbang perak selepas tewas pada aksi final kepada Sarkhan Alberov dari IFMA.

Sementara itu, aksi atlet perempuan Sarawak tidak kurang hebatnya apabila pasangan adik beradik, Nur Afiqah Musfirah Baharom dan Nur Arifah Mahsunah Baharom berjaya menyumbang perak dalam kategori Muay Boran (mae muay open category).

Sementara Nur Haina Aisyah Muhamad Haikal Jenil meraih perak dalam kategori IFMA Youth 30kg.

Ketika dihubungi, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Haji Jumaat Ibrahim mengucapkan syabas kepada semua atlet Sarawak atas kejayaan mengharumkan negara dan negeri pada kejohanan dunia itu.

Katanya, kejayaan atlet-atlet remaja itu membuktikan Sarawak mampu melahirkan bintang muaythai ternama yang sebaris dengan atlet peringkat antarabangsa.

Tambah beliau, kejayaan mereka juga memperlihatkan segala program pembangunan yang dirancang PMNS dan disokong oleh kelab-kelab muaythai tempatan setiap tahun membuahkan hasil yang diharapkan.

Katanya, kejayaan yang dilakar atlet muaythai Sarawak hari ini bertitik tolak dari sumbangan dan pengorbanan berterusan dari kerajaan negeri menerusi Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan PMNS sendiri.

“Pencapaian mereka hasil sokongan dan dokongan dari semua pihak seperti Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), kelab-kelab, jurulatih serta atlet sendiri demi melihat sukan muaythai di Sarawak terus berkembang dan pergi dengan lebih jauh.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) kerana memberi kepercayaan dengan menaja atlet Sarawak untuk menyertai kejohanan dunia ini,” katanya.

Dalam pada itu, Haji Jumaat juga menaruh harapan tinggi terhadap atlet Sarawak untuk meneruskan momentum kejayaan sama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur yang akan diadakan pada September depan. – EDISI UKAS

add comment