Sarawak Komited Pertingkat Skala Pengeluaran Makanan Akuakultur

SELASA, 23 OGOS 2022

KUCHING: Sarawak komited untuk meningkatkan dan menambah baik skala pengeluaran makanan untuk pengkomersilan dan eksport yang bukan sahaja meliputi tanaman pertanian dan ternakan tetapi juga sektor perikanan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak mempunyai potensi untuk menjana pendapatan eksport dalam industri akuakultur seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“PCDS 2030 telah mewujudkan kepentingan yang sangat besar terhadap potensi industri akuakultur.

“Dengan garis pantai sepanjang 1,000 kilometer dan kawasan perairan meliputi kawasan seluas 150,000 hektar, Sarawak mempunyai potensi dalam akuakultur untuk menjana pendapatan eksport.

“Jadi inisiatif segera kita adalah untuk membangunkan akuakultur komersial melalui penubuhan Zon Perindustrian Akuakultur (AIZ).

“Atas sebab ini, Sarawak menjadi keperluan untuk sebahagian daripada rangkaian serantau bagi perkongsian maklumat mengenai penyakit dalam akuakultur untuk melindungi industri akuakultur negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menyempurnakan ‘The 11th Symposium On Diseases In Asian Aquaculture’ (DAA11) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, Kerajaan Sarawak dengan kerjasama agensi berkaitan menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) bagi kemudahan penyelidikan dalam pelbagai sektor termasuk sektor perikanan.

“Kerajaan Sarawak melalui ‘Sarawak Research and Development Council’ (SRDC) bekerjasama dengan dua pusat penyelidikan penyakit berjangkit yang terkenal di peringkat antarabangsa dalam penubuhan SIDC di Kota Samarahan.

“SIDC adalah kemudahan penyelidikan untuk memastikan Sarawak mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk bertindak balas terhadap sebarang wabak termasuk dalam sektor perikanan,” katanya lagi.

Sementara itu, pada sidang media selepas perasmian simposium DAA11 tersebut, Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberitahu, sektor perikanan adalah satu sektor yang disasarkan oleh pihak kementerian untuk dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang melalui Dasar Agromakanan Negara 2.0.

Ujarnya, pelbagai sudut termasuk sudut pengurusan pengawalan penyakit adalah merupakan sudut yang penting yang perlu diambil peduli oleh para pemain industri dalam membangunkan industri ini.

“Pihak kementerian kita mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pemain industri dijadikan sebagai rakan strategik, apatah lagi pertubuhan-pertubuhan antarabangsa melalui ‘Food and Agriculture Organization of the United Nations’ (FAO).

“Ia adalah untuk mewujudkan suasana penternakan akuakultur negara kita menjadi satu industri yang terkawal, dari segi pengurusan dan pengawalan penyakitnya.

“Jadi simposium ini penting untuk mendapatkan pelbagai pengetahuan yang akan dikongsikan oleh para pakar dari dalam negara dan luar negara untuk diaplikasikan dalam industri akuakultur negara kita sekaligus signifikan dan perlu dalam membangunkan industri perikanan keseluruhannya,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Pemodenan Pertanian), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, dan Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Pembangunan Wilayah), Martin Ben. -EDISI UKAS

add comment