Sarawak Telah Kenal Pasti 3 Sektor Tingkatkan Ekonomi Sarawak & Malaysia Berpendapatan Tinggi

SELASA, 23 OGOS 2022

BINTULU: Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tiga sektor yang boleh mengubah Sarawak dan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut di antara Kerajaan Sarawak dan PETRONAS. 

“Sebenarnya, kita telah mengenal pasti perkara untuk kita  (Kerajaan Sarawak dan PETRONAS) bekerjasama dan berbincang dengan lebih lanjut.

“Saya yakin tiga sektor ini boleh mengubah Sarawak dan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. 

“Kami juga akan dapat menyumbang bahagian kami dalam isu pelepasan karbon.

“Dengan teknologi baharu ini kita boleh meletakkan Sarawak dalam kedudukan global minyak dan gas serta tenaga,” katanya. 

Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bintulu Additional Gas Sales Facility 2 (BAGSF-2) di Tanjung Kidurong, Bintulu pada Isnin.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga percaya kerjasama Kerajaan Sarawak dan PETRONAS dalam penyelidikan bahan api penerbangan akan membuka masa depan lebih cerah pada masa akan datang. 

“Saya telah melawat PETRONAS pada bulan Julai lepas dengan melawat pusat penyelidikan.

“Saya fikir, Pusat Penyelidikan PETRONAS ini mempunyai masa depan yang cerah termasuklah dalam pengeluaran pengeluaran bahan api penerbangan yang kini sedang dalam proses penyelidikan,” jelasnya. 

Pada masa sama, beliau turut berharap kerjasama di antara Kerajaan Sarawak dan PETRONAS pada masa depan akan dipertingkatkan demi manfaat bersama. 

Turut sama hadir Timbalan Premier Sarawak, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (II), Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh, Timbalan Premier Sarawak, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Ultiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan) Dato Majang Renggi, Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr. Hazland Abang Hipni dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip.-EDISI UKAS

add comment