RABU, 24 OGOS 2022
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak serta kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran di Pekan Sebuyau pada 6 Ogos lepas.
Penyerahan bantuan tersebut yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi di Dewan Pembangunan Sebuyau baru-baru ini.
Difahamkan, bantuan berjumlah RM2,700 di bawah Tabung Bantuan Segera telah disalurkan kepada sembilan mangsa dengan setiap orang menerima wang tunai sebanyak RM300.
Selain itu, lapan mangsa turut menerima Bantuan Pemulihan Perniagaan Kecil bernilai RM6,000 seorang manakala seorang mangsa, Tian Boon Hiang telah menerima bantuan bahan binaan sebanyak RM2,150.
Bantuan bencana yang disalurkan adalah merupakan peruntukan kerajaan Sarawak manakala Tabung Bantuan Segera pula ialah daripada kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan Iban Sebuyau yang diwakili Penghulu Agu Keleng turut menyampaikan bantuan ikhlas kepada Penghulu Lau Khien Seng mewakili para mangsa.
Hadir sama pada majlis penyampaian bantuan tersebut ialah Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, Pemangku Pegawai Daerah Sebuyau, Jerry Zannuddin Bidin, wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Mohamad Nizam Ismail, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohamad Yaakob dan Pemanca Asli Yahya. -Edisi UKAS