RABU, 24 OGOS 2022.
MUKAH: Pusat Sains, Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Mukah telah berjaya melaksanakan Projek Taman Herba di Sekolah Kebangsaan Kampung Senau, Taman Herba Oya Projek.
Projek bersama masyarakat setempat itu disertai seramai 20 orang pelajar dan barisan pensyarah pusat pengajian yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Senau pada Isnin.
Ia dimulakan dengan penyedian tapak dan seterusnya penanaman tanaman herba yang melibatkan pelajar-pelajar Diploma Pengurusan Ladang, UiTM Kampus Mukah, Guru-guru, PIBG dan juga pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Sains Perladangan dan Agroteknologi UiTM Mukah.
Di samping itu, antara tumbuhan herba yang turut ditanam di tapak Projek Taman Herba tersebut terdiri daripada beberapa spesis tumbuhan herba tempatan seperti belalai gajah, kunyit, bunga kantan, limau kasturi, kunyit hitam, bunga telang, serai makan, serai wangi dan pelbagai lagi.
Menurut YDP PIBG SK Kampung Senau, Oya, Yunus Sepi’e berkata projek Taman Herba tersebut merupakan salah satu usaha pihak PIBG menambah kemudahan di sekolah tersebut seterusnya menyediakan suasana pembelajaran di luar bilik darjah kepada murid.
Tambah beliau lagi, dengan adanya Taman Herba di sekolah tersebut ia menambahkan lagi kecerian sekolah serta menarik minat murid dan guru untuk menggunakan kemudahan sekolah dengan optimum.
Turut hadir Ketua Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Kampus Mukah, Muhamad Syukrie Abu Talip; Guru Besar SK Kpg Senau, Hambli Rabi; Penolong Pengurus Ladang, UiTM Kampus Mukah, Abang Shawn Fendi Abang Keprawi; Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Kampus Mukah, Yahutazi Chik serta tetamu lain.-EDISI UKAS