Isteri TYT Sabah Lawat Muzium Budaya Borneo

KHAMIS, 25 OGOS 2022

KUCHING: Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni meneruskan lawatan rasmi di Kuching dengan mengetuai rombongan dari Sabah ke Muzium Budaya Borneo di sini pada Khamis.

Ketibaan Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Norlidah disambut oleh isteri kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan & Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.

Sejurus tiba, Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Norlidah melawat ke beberapa pameran sebelum menyertai acara sukan tradisional yang diadakan di tingkat kedua bangunan muzium itu.

Rombongan kemudiannya menyertai persembahan tarian pelbagai etnik masyarakat Sarawak oleh kakitangan Jabatan Muzium Sarawak.

Selain itu, anak sulung kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Briged Jeneral Al Hambra Tun DSP Dr Juhar turut berkesempatan bermain sape bersama Ervin Kaik, seorang pemain sape yang juga merupakan kakitangan Jabatan Muzium Sarawak.

Program tersebut turut disertai oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Dr. Sabariah Putit, isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datin Sri Enn Ong Siok Ean, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datin Sri Baduyah Bujang serta dif-dif kenamaan lain.

Sementara itu, Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Norlidah dijangka akan melawat ke CENTEXS dan seterusnya ke Kompleks Kebajikan Laila Taib pada petang Khamis. 

Pada sebelah malam pula, Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Norlidah akan hadir ke sebuah majlis makan malam di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. -Edisi UKAS

add comment