Sambutan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2022 Berkonsepkan Keharmonian, Teras Kepada Nilai Kebersamaan

KHAMIS, 25 OGOS 2022

MIRI: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2022 kali ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar yang berteraskan kebersamaan dan kesyukuran.

Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, setelah dua tahun berada dalam tempoh pandemik Covid-19 dan meraikan bulan Kebangsaan dalam suasana yang sederhana, pada tahun ini, rakyat dapat berkumpul dalam suasana penuh ceria dan harmoni dalam fasa peralihan endemik ini.

“Tema ‘Teguh Bersama’ merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh Keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.

“Semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini harus disemarakkan dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dalam usaha kita mensejahterakan kehidupan rakyat ketika mendepani cabaran ekonomi global pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri di sini pada Rabu.

Untuk rekod, konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia telah pun bermula di Kilometer 0.00 Telok Melano pada 10 Ogos lalu dan meneruskan kembaranya di 33 daerah sehingga ke Lawas yang akan berakhir di Betong pada 31 Ogos 2022 bersempena dengan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak.

Justeru itu, Bahagian Miri merupakan hentian ke-30 daripada keseluruhan 38 hentian.

Hadir sama ialah, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak, Jaafar Jantan, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Normah Abdul Latiff serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. – EDISI UKAS

add comment