KHAMIS, 25 OGOS 2022
KUCHING: SaraSpice dengan penjenamaan baharunya, “SaraSpice: Sarawak’s Pride” 2 adalah salah satu inisiatif Lembaga Lada Malaysia (MPB) meningkatkan jualan dan produk lada Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, usaha ini memerlukan sokongan daripada kerajaan Negeri untuk menyediakan lebih banyak tanah untuk tanaman lada di Sarawak.
Katanya, MPB memerlukan bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan dari luar negara.
“Semoga kerajaan Negeri dapat melepaskan lebih banyak tanah untuk tanaman lada di Sarawak. Saya ingin sekali lagi menyebut di sini bahawa kita memerlukan lebih banyak tanah untuk perladangan lada kerana sektor ini mempunyai potensi yang besar.
“Ini kerana kami memerlukan bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan dari negara luar dan saya amat pasti Malaysia boleh menjadi pengeluar lada berkualiti nombor satu,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran SaraSpice Sarawak Pride 2 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Zuraida turut menekan bahawa komunikasi antara MPB dan SaraSpice mesti diperkukuhkan untuk mempergiatkan pasaran daripada lada.
Tambahnya, SaraSpice harus bekerja keras untuk mencapai sasaran menembusi jualan di peringkat antarabangsa dengan meningkatkan penggunaan lada dengan meluas dalam industri makanan dan minuman (F&B Industries).
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa penjualan dan pengedaran produk SaraSpice di Semenanjung Malaysia akan bermula pada bulan September.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Pengerusi MPB, Baharuddin Dato Mokhsen, Pengerusi Saraspice Sdn Bhd, Voon Shiak Ni, dan tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS