KHAMIS, 25 OGOS 2022
KUCHING: Sarawak menjadi tuan rumah untuk persidangan ‘International Society for Academic Research on Shamanism’ (ISARS) 2022 yang pertama di Malaysia.
Jabatan Muzium Sarawak telah diberikan penghormatan untuk menganjurkan persidangan tersebut yang bermula pada 25 Ogos hingga 28 Ogos 2022 di Borneo Cultures Museum.
Pembukaan persidangan ISARS yang bertemakan “Shamanism and Crisis: Seeking Human Identity’ itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Tazudin Mohtar, pada Khamis.
Turut hadir, Duta Besar Jerman Ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer, Presiden ISARS, Diana Riboli, Setiausaha ISARS, Davide Torri dan delegasi dari luar negara.
Persidangan ISARS ini bertujuan untuk menggalakkan pelbagai penyelidikan akademik bagi sistem terapeutik keagamaan dan menyokong kajian para ahli akademik.
Ia juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan pengetahuan tradisional bagi tradisi perubatan dan amalan rohani oleh budaya orang asli di seluruh dunia. -EDISI UKAS