JUMAAT, 26 OGOS 2022
MIRI: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dijangka akan berganda daripada RM100 bilion kepada RM280 bilion menjelang tahun 2030, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Surat Anugerah untuk Pembinaan dan Fit Out Shell Malaysia Ibu Pejabat Huluan di Miri Times Square pada Jumaat.
Ujar beliau lagi, ini disebabkan perpaduan pelbagai kaum dan kestabilan politik di negeri menjadi tonggak kepada peningkatan KDNK Sarawak pada tahun 2030 nanti.
“Kepulangan Shell ke Miri juga merupakan bukti kukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan kita, di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“GPS boleh memberikan kerajaan yang stabil di Sarawak kerana kami memandang ke hadapan dan dengan keyakinan ini, orang ramai mempunyai keyakinan untuk melabur di Sarawak.
“Sarawak juga mempunyai satu lagi loji minyak dan gas utama di Bintulu, iaitu PTTEP Hong Kong (PTTEP HKO).
“Malah, Shell juga kembali untuk melakukan projek yang sama dan dengan pelaburan Sumitomo dan Samsung dalam pengeluaran hidrogen, yang akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Katanya lagi, Sarawak juga menjangkakan akan banyak sumbangan daripada sektor swasta dan awam kepada inisiatif ekonomi negeri yang pada mulanya dianggarkan sebanyak RM64 bilion sehingga tahun 2030, tetapi dengan semua pelaburan baharu, dijangkakan kepada RM100 bilion sehingga tahun 2030.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Kewangan II Malaysia Yamani Hafez Musa, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II Dr. Ripin Lamat, Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Datuk Bandaraya Adam Yii, Pengerusi Shell Malaysia Ivan Tan, Pengurus Besar Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) Petronas Maslina Awang, Pengerusi Eksekutif Kumpulan ParkCity Group Datuk Seri Yaw Chee Siew dan Pengerusi Eksekutif Samling Dato Sri Yaw Chee Ming. -EDISI UKAS