JUMAAT, 26 OGOS 2022
MIRI: Kerajaan Sarawak meluluskan program subsidi yuran institusi awal kanak-kanak berjumlah RM2.5 juta.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan peruntukan ini akan membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan dan menghadapi kekangan kewangan menghantar anak-anak mereka ke prasekolah.
“Mereka yang tidak dapat menghantar anak ke prasekolah kerana kekangan kewangan, saya bersimpati kepada mereka yang serba kekurangan.
“Justeru, permintaan Dato Sri Fatimah Abdullah untuk RM2.5 juta itu diluluskan,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Pelancaran Konvensyen Antarabangsa Prasekolah 2022 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Dalam majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mahu rakyat Sarawak menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi seperti yang dirancang dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Ujarnya, untuk mencapai matlamat itu, adalah sangat penting untuk Sarawak memiliki modal insan yang berkualiti.
“Kerajaan Sarawak telah memberikan penekanan yang besar dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE).
“ECCE yang berkualiti sememangnya penting sebagai asas dalam menyediakan bahan binaan untuk pencapaian pendidikan, pembinaan sahsiah dan kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.
Katanya lagi, penyertaan dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berkualiti tinggi adalah penting untuk pembangunan peribadi, sosial integrasi, pembelajaran sepanjang hayat yang berjaya dan kebolehpasaran kemudiannya.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri KPWK Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II Dr. Ripin Lamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS