JUMAAT, 26 OGOS 2022
KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Tourism Malaysia (TM), STB dan Business Events (BE) Sarawak akan menganjurkan Persekutuan Ejen Pelancongan India (TAFI) 2022 dari 20 hingga 23 September depan.
STB dalam satu kenyataan media pada Rabu memaklumkan, konvensyen yang bertemakan “Build Back Better (Kembali dengan Lebih Baik)” itu antara lain bertujuan mengukuhkan industri pelancongan dalam menuju ke arah pemulihan ekonomi yang berdaya tahan dan setiap sesi akan mengetengahkan kemampanan, usaha pemuliharaan, penghijauan dan pelancongan yang bertanggungjawab.
Menurut Menteri MTCP, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, tema Konvensyen TAFI tahun ini, ‘Build Back Better’ sangat sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Tema pada tahun ini sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk memperkasakan komuniti dan memastikan persekitaran yang mampan selepas COVID.
“Kami berharap dapat menganjurkan acara ini bersama-sama dengan TAFI dengan faktor kelestarian menjadi nadi konvensyen itu,” tambahnya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan TAFI yang melawat Kuching untuk melakukan beberapa pemeriksaan tapak baru-baru ini, turut melakukan kunjungan hormat ke atas Dato Sri Abdul Karim.
Dalam pertemuan tersebut, Dato Sri Abdul Karim menyuarakan harapan agar konvensyen itu menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai pengunjung dari India ke Sarawak dalam masa terdekat.
Presiden TAFI, Ajay Prakah pula berkata Sarawak berpotensi menjadi destinasi popular di pasaran India yang mencari destinasi baharu untuk dilawati.
Jelasnya, pasaran India sedang berkembang, dan mereka sentiasa mencari destinasi, produk dan pengalaman yang lebih baharu dan Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi popular di pasaran India kerana generasi hari ini prihatin terhadap planet, pemuliharaan dan kemampanan alam sekitar.
TAFI ialah sebuah persatuan yang mewakili Travel Trade di India dengan keahlian seramai 1,400 ahli dari seluruh India.
Majoriti ahli TAFI adalah ejen bertauliah IATA dan menyumbang kepada lebih daripada 75 peratus perniagaan pelancongan luar India.-EDISI UKAS