Kembara Merdeka Keluarga Malaysia Pupuk Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Masyarakat

SABTU, 27 OGOS 2022

BARAM: Penganjuran Kembara Merdeka Keluarga Malaysia dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latarbelakang agama, warna kulit, pangkat dan darjat.

Demikian menurut Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dalam program Parlimen@Komuniti #Keluarga Malaysia, Peringkat Parlimen Baram di Dewan Suarah Marudi pada Jumaat.

Sementara itu katanya, tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini adalah amat bertepatan terutama sekali apabila seluruh Keluarga Malaysia dapat bersama-sama bersatu melawan wabak COVID-19 baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut menegaskan mengenai semangat cinta kepada negara dan memperingati pejuangan untuk mengecapi kemerdekaan adalah penting untuk rakyat negara ini.

“Semangat cinta kepada negara merupakan satu daripada ciri-ciri penting dalam pembinaan sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya supaya dapat hidup rukun, damai dan harmoni.

“Nilai patrotisme akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia,” ujarnya lagi.

Anyi turut menekankan kepentingan pengibaran Jalur Gemilang untuk menanam semangat dan nilai nasionalisme dan patriotisme di kalangan masyarakat untuk menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan ini.

Dalam program ini, Ahli Parlimen Baram itu turut menyerahkan sijil lantikan kepada tiga orang penghulu baru di Daerah Marudi dan empat orang Tuai Rumah yang baru.

Hadir sama Pengarah Penerangan Negeri, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak merangkap Ketua Rombongan Kembara Jaafar Jantan, Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok, Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak Aziz Abdul Rahman dan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi Mohamad Ruslan Mat Kib.-EDISI UKAS

add comment