AHAD, 28 OGOS 2022
MIRI: Kerajaan melihat golongan belia pada hari ini adalah aset bagi memimpin negeri dan negara pada masa akan datang.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, atas sebab itu Jabatan Belia dan Sukan telah diwujudkan di setiap negeri termasuk di Sarawak bagi menjaga hal ehwal belia.
“DI Sarawak pun, kita ada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang menjurus kepada hal ehwal pembangunan belia dan juga pembangunan usahawan belia.
“Ini menunjukkan bahawa pentingnya bagi kerajaan pusat dan Kerajaan Sarawak melihat golongan belia ini.
“Ada pepatah mengatakan kalau hendak melihat bagaimana keadaan negeri dan negara kita di masa akan datang, kita lihatlah bagaimana keadaan belia kita pada masa kini,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berharap jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin bersama membentuk belia yang progresif dan aktif dalam melahirkan pemimpin di masa akan datang.
“Sebab itulah, adalah menjadi tanggungjawab kita semua sama ada di kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, wakil rakyat dan pemimpin NGO lain yang menjaga hal ehwal belia dapat memastikan negara dan negeri serta masyarakat belia dapat mewarisi dan melahirkan belia sebagai pemimpin untuk memimpin kita di masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, dalam sidang medianya Dato Sri Abdul Karim menjelaskan penganjuran Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak dan penyampaian anugerah kepada belia-belia dan persatuan belia adalah untuk menghargai sumbangan belia dalam pembangunan negeri dan negara.
“Sebenarnya tarikh hari-hari belia ini diadakan atau sambutan ini diadakan untuk memberi penghargaan kepada sumbangan belia terhdap pembangunan negeri dan negara,” katanya.
Pada majlis itu, telah diadakan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2022 bagi kategori individu lelaki dan wanita serta pertubuhan.
Bagi kategori lelaki, johan dimenangi Robsan Jok Laeng, manakala naib johan dimenangi Harish Abdullah.
Sementara itu, bagi kategori wanita pula, johan dinobatkan kepada Hannah Maria Lamat dan naib johan disandang Lyona Stephen.
Kelab Belia Permata Halaman Kurung Sian (BERLIAN) Sarawak diumumkan sebagai johan bagi kategori pertubuhan manakala, Kelab Rakan Muda Bandar Bintulu diumumkan sebagai naib johan.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Bellia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat, Setiausaha Agung SABERKAS Negeri Sarawak Shafirr Ahmad, Pengarah Jabatab Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak Nancy Jolhi. -EDISI UKAS