AHAD, 28 OGOS 2022
MATU: Pasar Malam Matu yang mula beroperasi pada Jumaat lepas mendapat begitu menggalakkan dari masyarakat sekitar Matu dan kawasan berhampiran.
Meskipun hanya beroperasi pada Jumaat dan Sabtu, pasar malam yang terletak di Dataran MDMD di sini menerima sambutan menggalakkan dari para pengunjung.
Tidak ketinggalan mengunjunginya ialah Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri (Integriti Dan Ombudsman) merangkap ADUN Jemoreng), Aini Latip.
Ditemui pada Jumaat, Aini berkata sambutan dari para pengunjung adalah di luar jangkaan dan para peniaga turut bersyukur dengan rezeki yang mereka perolehi sepanjang dua malam itu.
Aini dalam pada itu berharap sambutan itu akan berterusan dan lebih ramai peniaga akan menyertai Pasar Malam tersebut.
Katanya, kesan dari Pasar Malam ini, peniaga di Medan Selera Matu turut mendapat tempias rezeki dari pengunjung yang singgah untuk menjamu selera serta menikmati keindahan Sungai Matu di waktu malam.
Sebanyak 22 buah gerai kini menyertai Pasar Malam ini yang terdiri dari peniaga tempatan.
Sementara itu, salah seorang peniaga yang ditemui, Ainol Asyraf Rahim yang menjual ‘bundle’ atau pakaian terpakai melahirkan rasa teruja kerana jualan beliau mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pengunjung.
Begitu juga peniaga barangan pelbagai, Jasnie yang turut bersyukur atas sambutan pengunjung pada malam itu.
Nada gembira sama turut disuarakan peniaga kasut terpakai, Aliyazid Othman selepas jualannya meningkat laris. – EDISI UKAS