Premier Sarawak Serah Biasiswa Yayasan Sarawak Kepada Tiga Pelajar Cemerlang STPM

ISNIN, 29 OGOS 2022

KUCHING: Tiga pelajar cemerlang menerima biasiswa dari Yayasan Sarawak sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap usaha gigih mereka berjaya mendapatkan keputusan yang terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021.

Biasiswa ini telah disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam satu majlis ringkas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Isnin.

Menurut Pressely Bangga Kedidi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong yang mendapat 4.00 CGPA dalam STPM 2021, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak di atas bantuan yang telah diberikan ini. 

“Saya juga turut berterima kasih kepada ibu bapa dan guru mata pelajaran saya atas ilmu serta didikan selama ini agar saya dapat melanjutkan pelajaran saya di beberapa universiti yang telah saya mohon,” katanya. 

Sementara itu, bagi Indra Soekardi bapa kepada Nur Zahirah juga dari SMK Kubong berharap dengan adanya biasiswa ini memberikan motivasi kepada anaknya untuk terus memperoleh kejayaan yang cemerlang pada masa depan. 

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan ini yang sedikit sebanyak dapat membantu anak saya melanjutkan pelajarannya dengan lebih cemerlang” ujarnya. 

Manakala, Nasha Izzati Ramlee dari SMK Merapok menzahirkan rasa gembira di atas bantuan biasiswa ini bagi membolehkannya menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan pendidikan. 

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan ini.

“Saya juga berharap dengan bantuan biasiswa ini membolehkan saya melanjutkan pelajaran saya di UMS dan mencapai impian saya untuk menjadi seorang pendidik suatu hari kelak,” katanya.-EDISI UKAS 

add comment