SK Kelawit Anjur ‘Merdeka Treasure Hunt’ Sempena Sambutan Hari Kebangsaan

ISNIN, 29 OGOS 2022

TATAU: Sekolah Kebangsaan Kelawit menganjurkan program ‘Merdeka Treasure Hunt’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Menurut wakil Ketua Polis Daerah Tatau, ASP Kisam Wa, Program Merdeka Treasure Hunt ini bermula dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit dan seterusnya berhenti sementara di kawasan Balingian sebelum berakhir di Kingwood Hotel Mukah.

Justeru, beliau menzahirkan perasaan bangga dan menyambut baik usaha murni sekolah ini serta penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang bersungguh-sungguh menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui program seumpamanya.

Katanya, penerapan konsep ‘Teguh Bersama’ melalui penglibatan para guru bersama PIBG membawa pengertian bahawa rakyat turut bersama dengan kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan damai serta bersatu padu.

“Program sebegini juga mampu menaikkan semangat patriotisme dalam diri kita,’’ katanya semasa berucap pada Program Merdeka Treasure Hunt anjuran PIBG dan Kelab Kebajikan Staf SK Kelawit di sini pada Sabtu.

Di samping itu katanya, ia memberi peluang kepada peserta untuk berjelajah ke bahagian lain di Sarawak.

Difahamkan, peserta yang terlibat akan melakukan perjalanan dari Tatau ke Mukah, di mana mereka akan mencari benda tersembunyi serta menyelesaikan beberapa soalan sehingga tiba di garisan penamat.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Kelawit, Janudin Abdul Rahman, para guru dan kakitangan SK Kelawit. – EDISI UKAS

add comment