SELASA, 30 OGOS 2022
KUCHING: Seramai 416 graduan dari Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) menerima ijazah masing-masing di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Premier Sarawak merangkap Pro Canselor Swinburne Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyampaikan skrol ijazah kepada para graduan sesi 2020 dan 2021.
Daripada kesemua graduan yang diraikan, seramai 207 graduan dari Fakulti Perniagaan, 139 graduan dari Fakulti Kejuruteraan.
Sementara itu, dua graduan menerima Lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan dan dua lagi dalam Sains.
Anugerah turut disampaikan kepada dua graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Antarabangsa) dan masing-masing seorang graduan Sarjana Pengurusan Pembinaan dan Sarjana Perniagaan (Penyelidikan).
Manakala bagi Diploma Pengurusan Perniagaan, dua graduan menerima skrol.
Graduan Swinburne Sarawak terdiri daripada pelajar dari Malaysia dan luar negara termasuk Indonesia, Sri Lanka, China, Mesir, Nigeria, Pakistan dan Zimbabwe.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu kehormat lain. – EDISI UKAS