SELASA, 30 OGOS 2022
LAWAS: Sarawak mempunyai misi dan visi yang amat jelas untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Sarawak turut mahu melihat daerah Lawas dan Punang maju seperti daerah-daerah lain di negeri ini dengan mempunyai pembangunan yang lengkap seperti jalan raya, jambatan dan sebagainya.
“Di Punang ini, (kita) Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pembinaan waterfront dengan peruntukan daripada RECODA. Saya mahu projek ini dapat disiapkan dengan cepat.
“Kita juga membina Anjung Usahawan di sini untuk meningkatkan produktiviti masyarakat.
“Justeru, masyarakat digesa ambil peluang ini untuk kita meningkatkan taraf hidup dan pendapaTan. Punang terletak di tempat yang begitu strategik sekali untuk pembangunan,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Keluarga Wanita PBB DUN Bukit Sari sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2022 di sini pada Sabtu.
Jelas Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari lagi, selain pembangunan, Kerajaan Sarawak juga mahu menumpukan bidang kemahiran dan pendidikan dalam memperkasakan rakyatnya.
“Kita juga harus menumpukan bidang pendidikan kerana dunia hari ini sudah jauh berubah.
“Sekarang ini semuanya digerakkan oleh ilmu pengetahuan. Kita mahu masyarakat berkemahiran dan terlibat dalam pelbagai aspek seperti keusahawanan dan sebagainya.
“Begitu juga kestabilan politik yang ada hari ini perlu dikekalkan,” jelas beliau.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidah Abdul Latif, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Setiausaha Politik Premier Sarawak Kaunselor Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Bukit Sari Dayangku Norli Pengiran Tajuddin.-EDISI UKAS