RABU, 31 OGOS 2022
BETONG: Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan terus mempertingkatkan lagi pembangunan bahagian Betong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata Betong sudah jauh berubah dari segi pembangunan sejak diiktiraf sebagai bahagian pada 2002.
Katanya, kemudahan infrastruktur di Betong seperti jalan raya agak meluas selain terdapat beberapa institusi pendidikan dan latihan serta potensi kawasan pertanian di bahagian itu yang perlu terus diberikan tumpuan.
“Saya amat yakin dengan beroperasinya BIDA nanti dengan kepimpinan Datuk Amar Douglas Uggah yang sentiasa bekerja keras, kawasan Betong akan membangun dengan lebih pesat lagi dan bergerak maju seiring dengan kawasan-kawasan lain di negeri ini.”
Beliau berucap demikian pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Rabu.
Tambah beliau lagi, penubuhan BIDA, seperti URDA bagi Hulu Rajang, HDA (bagi kawasan tanah tinggi Ulu Baram), SADA (bagi Kawasan Sri Aman), IRSDA (bagi kawasan Samarahan) dan lain-lain, merupakan pendekatan baharu untuk mempastikan pembangunan di kawasan-kawasan berkenaan diselaraskan dengan lebih berkesan untuk mempercepatkan pembangunan, terutamanya dari segi infrastruktur.
Hadir sama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggas Embas serta isteri Datin Amar Dato Doreen Mayang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri Dato Fatimah Mohd Iskandar.
Selain itu, majlis itu turut dihadiri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang serta isteri Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan I Dato Gerald Rentap Jabu serta isteri Datin Rosemarie Wong, Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat serta isteri Datin Claudia Regina Janting, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kehormat yang lain.
Menyentuh perkembangan lain, Premier Sarawak berharap diskaun bagi bil air dan elektrik, cukai pintu, sewa pasar dan gerai mulai bulan Julai di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 yang diumum pada Isnin lepas sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan.
Malah katanya, pihak industri juga diberi bantuan dari segi kos bahan binaan supaya projek-projek infrastruktur terutamanya dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk manfaat rakyat.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan etnik pelbagai kaum di negeri ini.
Kemuncak majlis menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang oleh Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kemudiannya dinaikkan mengikut adat istiadat oleh kontinjen Tentera Laut Diraja Malaysia. – EDISI UKAS