CPPC Lawas Akan Mula Operasi Selepas Kerja Penyambungan Paip Selesai

RABU, 31 OGOS 2022

LAWAS: Bangunan Pusat Pemprosesan dan Pengumpulan Produk Pertanian (CPPC) Lawas akan memulakan operasi setelah kerja penyambungan paip di bangunan berkenaan selesai.

Perkara ini telah dimaklumkan dalam satu taklimat semasa Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail melakukan lawatan ke bangunan berkenaan pada Isnin.

Dalam taklimat yang telah diberikan oleh Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Lawas Lee Teck Kiu, Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang Frezal Faisal serta kehadiran Pegawai Jabatan Bomba Bahagian Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal itu, Datuk Dr. Abdul Rahman telah dimaklumkan walaupun bangunan tersebut telah siap namun ia belum dapat digunakan disebabkan bekalan air belum disambungkan ke bangunan tersebut.

Walaubagaimanapun, pihak JBALB akan berusaha untuk melakukan kerja-kerja penyambungan paip ke bangunan ini lebih sedikit masa lagi kerana sebahagian peruntukan untuk tujuan tersebut sudah disediakan dari Kementerian berkenaan.

Terdahulu, Datuk Dr. Abdul Rahman telah melakukan tinjauan ke ladang durian dan kebun pisang hasil usaha dua beradik Pemanca Rosli Majid dan Harris Majid di kawasan Merapok.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu juga telah melawat ke Kampung Undop, Merapok bagi melihat sendiri beberapa pengusahaan madu kelulut di kampung tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato’ Jawa.-EDISI UKAS

add comment