Jambatan Bintulu-Jepak Dijangka Siap Disember 2023, Naik Taraf Sosioekonomi Penduduk Bintulu

KHAMIS, 1 SEPTEMBER 2022

BINTULU: Jambatan Bintulu-Jepak yang merentasi Kuala Kemena dijangka siap pada Disember tahun 2023.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, infrastruktur yang berkonsepkan jambatan ‘cable-stayed’ itu bakal menjadi satu lagi tarikan untuk bandar Bintulu.

“Jambatan ini dijangka siap pada Disember 2023. Ia adalah jambatan ‘cable-stayed’ dan akan jadi satu tarikan untuk bandar Bintulu,’’ katanya dalam sidang media selepas melawat ke bangunan baharu SK Ulu Segan di sini pada Khamis.

Terdahulu pada hari sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berserta rombongan telah melawat ke tapak projek jambatan berkenaan.

Difahamkan, jambatan itu bakal mengurangkan jarak perjalanan sebanyak 6.4km dari Lapangan Terbang Bintulu ke Bandar Bintulu.

Ia juga akan menghubungkan semua kawasan Nod Pertumbuhan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) seperti Taman Perindustrian Samalaju, Taman Perindustrian Matadeng dan Bandar Pintar Mukah.

Secara keseluruhannya, jambatan itu dijangka menaik taraf sosioekonomi penduduk Bintulu.

Hadir sama dalam lawatan ke jambatan tersebut ialah dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala, Residen Bahagian Bintulu, Datu Jack Aman, dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir. Richard Tajan. -Edisi UKAS

add comment