Jepak Jaya Terus Dibangun, Agenda Pembangunan Gelombang Kedua Di Bintulu

KHAMIS, 1 SEPTEMBER 2022

BINTULU: Jepak Jaya akan terus dibangun sebagai agenda pembangunan gelombang kedua bagi bahagian Bintulu.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg, kawasan tersebut akan melihat pembangunan pesat dengan keberadaan infrastruktur baharu yang sedang giat dibina.

“Jepak yang bakal dinamakan Jepak Jaya akan mempunyai kawasan perumahan yang baharu, kompleks beli-belah dan juga kompleks pentadbiran.

“Kita membangunkan lokasi itu iaitu kawasan pembangunan gelombang kedua untuk Bintulu,’’ katanya dalam sidang media selepas melawat ke bangunan baharu SK Ulu Segan di sini pada Khamis.

Premier Sarawak memberitahu, ia merupakan antara hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Hotel ParkCity Everly, Bintulu pada pagi Khamis. 

Beliau menambah, kerajaan juga bersetuju untuk menggiatkan pembekalan kemudahan utiliti di bahagian tersebut. 

“Bekalan air akan dipertingkatkan ke kawasan rumah panjang dan juga kampung di Bintulu.

“Peruntukan akan diberi, namun, pelaksanaan ini akan mengambil masa kerana ia melibatkan sumber air dan juga keperluan lain seperti paip yang sesuai,’’ ujar beliau lagi.

Manakala Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mengulas lanjut, tidak ketinggalan juga daerah Sebauh dan Tatau yang turut melihat pelaksanaan pelbagai projek. 

“Menurut laporan yang diterima, projek-projek itu sedang berjalan lancar dan akan melengkapkan lagi pembangunan yang kita laksanakan di kawasan terbabit,’’ katanya. -Edisi UKAS

add comment